Tugasan III :
Kesan Penggunaan Media Baru dalam Penghasilan Karya Daripada Ide, Rekaan, Tiruan dan Hakmilik Cipta.
Sejak mulanya revolusi perusahaan sekitar tahun 1830an, tercetusnya revolusi baru dalam seni visual dengan pengenalan kamera atau rakaman gambar. Revolusi ini telah membuahkan satu paradigma baru dalam seni visual sama ada dari segi penggunaan bahan tersebut dan idea melalui teknologi.

Dilihat dari sudut sejarah perkembangan awal, sejak 1983 seorang pensyarah reka bentuk industri ITM (Sekarang UiTM) Kamarulzaman Md Isa telah mempamerkan sebuah karya di luar lingkaran karya biasa dengan menggunakan komputer sebagai bahan. Pada peringkat awal beliau telah menggunakan bahasa pengaturcaraan BASIC di atas pelantar komputer Apple IIe dengan kapasiti RAM 64kb menghasilkan karya imejan. Setahun kemudian beliau mengeksploitasi lagi dengan menggunakan komputer di atas pelantar ‘Commodore 64 dan menghasilkan karya ‘self portrait’ dengan pencetak ‘dot matrix’. Pada tahun 1987 Beliau terus mencuba dengan menggunakan teknologi yang lebih tinggi kuasa iaitu Komputer Commodore Amiga 1000 yang mempunyai kuasa 500kb iaitu Karya tersebut bertajuk ‘Cini’ dan ‘Tribute to Bapak’.
Pameran Digital Collage pada tahun 1988 merupakan pameran sepenuhnya dihasilkan menggunakan imej berkomputer melalui cetakan dot matric oleh Ismail Zain. Beliau juga dikatakan perintis awal yang berani membuat pameran perseorangan dengan menggunakan teknologi baru melalui eksperimentasi.
Cetakan-cetakan menggunakan komputer dalam karya-karya bertajuk Digital Collage memperlihatkan kesediaan beliau menerima dan meraikan pengaruh-pengaruh dan imej-imej budaya yang dapat dari mana-mana tamadun manusia pada masa lampau. Menurut Redha Piyadasa dalam katalog Rupa Malaysia (2000) menyatakan, Ismail Zain menekankan pengalaman-pengalaman baru bersifat global dan pasca-modenis berhubung dengan ruang yang perlu difahami dan ditangani dengan serius oleh pelukis masa depan. Sekitar akhir tahun 1990an dan awal 2000 memperlihatkan eksploitasi karya menggunakan teknologi baru menjadi lebih gemilang. Kemunculan Hasnul Jamal Saidon yang mengutarakan karya dalam bentuk elektronik dan memperhebatkan dengan idea E-art telah meletakkan dunia seni teknologi baru di negara ini semakin bersemarak.
Banyak kelebihan yang ada di media baru tetapi harus diingat, media baru juga mempunyai keburukan dan kelemahan. Peredaran masa telah mengubah zaman menjadi semakin maju, tahap penggunaan teknologi semakin tinggi. Peniruan dalam penghasilan karya-karya boleh terjadi sekiranya karya tersebut disebarkan melalui internet. Seseorang akan dapat mengambil karya setetusnya mengubah dengan cara tersendiri. Masa kini, pelbagai cara dan teknologi yang dapat mengubah dan membuat dengan cara peniruan. Apabila sesebuah karya hendak disebarkan, perlulah ia dijadikan hak milik cipta daripada pengkarya dengan menggunakan undang-undang hakcipta di negara kita.